18 APRIL : Jumlah kes baharu harian COVID-19 di negara ini menunjukkan trend penurunan selama dua hari berturut-turut apabila sebanyak 2,078 kes baharu dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu membabitkan 2,065 kes tempatan dan 13 kes import yang menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak itu di negara ini setakat tengah hari tadi 377, 132 kes.
“Sarawak melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 589 kes. Daripada jumlah ini, sebanyak 450 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 457 kes dan Kelantan sebanyak 290 kes. Sebanyak 13 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Telok Mas (12 kes) dan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (1 kes).
“Terdapat lapan kes kematian pada hari ini yang melibatkan tiga kes di Sarawak, masing-masing dua kes di Selangor dan Sabah, serta satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya menerusi kenyataan rasmi perkembangan laporan harian COVID-19, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu jumlah kes sembuh baharu dilaporkan sebanyak 1,402 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh akibat pandemik itu melonjak kepada 355, 244 atau 94.19 peratus daripada keseluruhan kes.
“Jumlah kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini pula adalah seramai 228 orang termasuk dan 93 yang memerlukan bantuan pernafasan. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes aktif sebanyak 20,552 atau bersamaan 5.44 peratus,” katanya.
Sementara itu, Noor Hisham memberitahu terdapat 14 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan empat kluster berkaitan komuniti serta tiga kluster tempat kerja dan selebihnya satu kluster keagamaan.
Tambah beliau, kluster baharu yang terlibat adalah, Tangok, Kelantan; Pulai Chondong, Kelantan; Jalan Tagasan, Sabah; Jalan Medan Aliff, Johor; Jalan Weng, Kedah; Jalan Hospital, Kelantan dan Sungai Duan di Sarawak.
“Selain itu, enam lagi ialah Sungai Duan, Sarawak; Sungai Passin, Sarawak; Sungai Selitut, Sarawak; Jalan Bandar Universiti, Perak; Jalan Cahaya Baru, Johor; Cyber Park, Johor; Jalan Sulah 16, Selangor dan Bayan Cenderawasih, Kedah,” katanya.
Sementara itu, Noor Hisham berkata sebanyak 1,194 kluster telah tamat termasuk 12 kluster yang tamat pada hari ini.
Beliau berkata, kluster tersebut adalah Kluster Taman Tunku, Kluster Jalan Helang, Kluster Jalan Delima, Kluster Jalan Mega Lima, Kluster Jalan Kunci Air, Kluster Kampung Nyatoh, Kluster Jalan PKNK 1/6, Kluster Jalan Sikamat Lama, Kluster Batu Empat, Kluster Jalan Tun Razak, Kluster DTI Machap Umboo, dan Kluster Lagenda Suria
“Jumlah kluster aktif kini adalah 340 kluster manakala bagi jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini 63 kluster.
“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Sungai Duan (62 kes), Kluster Kampung Domis (55 kes), dan Kluster Jalan Sulah 16 (42 kes),” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH