19 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan lima lagi individu bagi membantu siasatan kedua-dua kes video raya yang mempromosikan judi atas talian.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah turut mengesahkan daripada jumlah itu, pihaknya berjaya menahan suspek utama, Loh Kee Hoe, 35, pembikinan kedua-dua video tersebut.
Menurut beliau, kesemua mereka ditahan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor antara jam 10 malam tadi hingga 6 pagi ini.
“Siasatan kedua-dua kes video viral raya yang mempromosikan judi atas talian telah membawa penahanan lima orang lagi suspek.
“Tangkapan itu termasuk suspek utama yang diburu yang dipercayai mendapat arahan dari sindiket perjudian atas talian untuk menerbitkan video tersebut.
“Ini menjadikan keseluruhan tangkapan setakat ini adalah seramai 18 orang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Zainal memberitahu lima orang yang ditahan itu merupakan pengarah filem, penyanyi dan komposer.
“ Mereka akan ditahan reman di lokap Dang Wangi pagi ini untuk membantu siasatan polis.
“Siasatan masih diteruskan bagi menjejaki sindiket judi atas talian tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1955,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH