19 APRIL: Malaysia dijangka menerima lebih 2.25 juta dos vaksin jenis Pfizer-BioTech dan Sinovac pada bulan ini serta Mei bagi menampung keperluan bekalan untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata penghantaran bekalan vaksin jenis Pfizer BioTech itu akan membabitkan tiga peringkat sepanjang minggu ini.
“Bekalan pertama dijangka tiba Rabu ini, merangkumi 128,700 dos, disusuli 36,270 dos dan 12,870 dos pada hari berikutnya,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.
Sementara itu, ketika mengulas keputusan kerajaan sebelum ini untuk memberikan sumbangan bekalan vaksin sebanyak 50,000 dos kepada Bosnia Herzegovina atas dasar bantuan kemanusiaan, Khairy berkata, penghantaran itu akan dilakukan bergantung kepada bekalan stok semasa.
Katanya, walaupun Malaysia mempertimbangkan misi bantuan vaksin kepada sesetengah negara yang sukar mendapatkan bekalan vaksin, keutamaan kerajaan pastinya kepada rakyat negara ini.
“Keputusan dibuat Kabinet berhubung sumbangan 50,000 vaksin jenis Sinovac terbabit bergantung kepada bekalan dimiliki Malaysia,” katanya.
Pada 8 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof dilaporkan berkata, demi nilai kemanusiaan dan hubungan baik terjalin, Malaysia akan menyumbangkan 50,000 dos vaksin kepada Bosnia Herzegovina berikutan kesukaran negara berkenaan mendapatkan bekalannya.
Bagaimanapun, katanya, sumbangan itu tidak akan menjejaskan PICK kerana negara akan memiliki bekalan vaksin mencukupi untuk kegunaan rakyat. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN