19 APRIL : Dalam kerancakan umat Islam berbuka puasa di pelbagai premis makanan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menasihati umat Islam agar sentiasa memilih premis yang mempunyai Persijilan Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
Justeru itu, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Zakaria Othman berkata umat Islam perlu memastikan premis mempamerkan logo halal Malaysia di hadapan premis perniagaan.
Menurut beliau, umat Islam juga perlu memastikan premis mempamerkan sijil pengesahan halal Malaysia yang asal dan masih sah tempoh di premis.
“Alamat premis mestilah sama sebagaimana dinyatakan di dalam sijil dan tempoh sijil masih sah.
“Maklumat halal premis juga boleh disemak melalui direktori Halal Malaysia (www.halal.gov.my) atau di aplikasi telefon pintar SmartHalal.
” Premis yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia tidak akan dipaparkan dalam direktori tersebut, “katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Zakaria menyatakan sekiranya terdapat premis yang mendakwa telah mendapat pengesahan halal, umat Islam perlu memastikan premis tersebut memiliki ketiga-tiga ciri tersebut.
Jika tidak tambah beliau, status pengesahan halal premis tersebut masih diragui.
“Berbuka puasa merupakan suatu ibadah. Justeru, sudah pasti ibadah tersebut perlu dilaksanakan dengan sempurna termasuklah memilih makanan yang diyakini halal.
“Adalah diharapkan umat Islam tidak memilih premis makanan yang diragui kehalalan dan kebersihannya.
“Ini perlu bagi memastikan ibadah berbuka puasa atau iftar mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH