19 APRIL : Malaysia menyambut baik komitmen jangka panjang Microsoft Corp bagi bersama menjayakan inisiatif Microsoft Bersama Malaysia dalam memperkasakan Ekonomi Digital Inklusif Malaysia.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata inisiatif Bersama Malaysia merangkumi pembinaan satu pusat pangkalan data serantau bernilai RM4 bilion atau USD1 Bilion dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menguruskan data daripada pelbagai negara.
“Saya difahamkan oleh International Data Corporation, pelaburan berkenaan mampu diterjemahkan kepada RM28.30 pendapatan yang dihasilkan dalam ekosistem awan tempatan daripada setiap RM4.20 pada tahun 2024.
“Ia dijangkakan akan mewujudkan 19,000 pekerjaan termasuk 4,000 yang berkaitan dengan IT,” katanya ketika berucap melancarkan Inisiatif Microsoft Bersama Malaysia di Hotel Zenith di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan negara pastinya akan mendapat manfaat besar daripada inisiatif itu kerana negara memerlukan tulang belakang bukan sahaja penyambungan dan penyimpanan data namun juga modal insan berkemahiran dengan kemampuan sains data.
“Justeru, saya mengalu-alukan banyak perkongsian awam-swasta yang dibentuk oleh Microsoft dan rakan-rakannya yang mana kita akan menyaksikan MOU menandatangani hari ini,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin memberitahu sebagai permulaan, rakan kongsi tersebut merangkumi kerjasama dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), PETRONAS, Celcom dan Grab.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata perkongsian berkenaan juga akan membantu meningkatkan pelbagai kemahiran kepada sehingga satu juta rakyat Malaysia pada akhir 2023.
“Saya harap perkongsian yang berjaya ini dapat menjadi templat untuk merapatkan jurang digital dan memperkasakan setiap rakyat Malaysia melalui penggunaan teknologi.
“Ini sangat selari dengan digitalisasi, yang menjadi pilihan utama untuk memainkan peranan utama untuk jangka panjang dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun Kedua Belas yang akan datang (RMKe-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030),” katanya.
Perdana Menteri juga menyatakan kesyukuran dan gembira kerana melihat komitmen global Microsoft untuk beralih ke bekalan 100 peratus menggunakan tenaga boleh diperbaharui pada tahun 2025 untuk semua pusat datanya, termasuk Malaysia.
“Pelaburan penting dari Microsoft ini memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab data serantau yang berpotensi.
“Kami juga akan sentiasa bersedia untuk menyambut lebih banyak perkongsian seperti kami bekerjasama dengan pihak berkepentingan dan akan terus meningkatkan cadangan nilai Malaysia di ruang data besar ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH