19 APRIL: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan bermesyuarat pada Khamis ini bagi menentukan penggunaan vaksin AstraZeneca di Malaysia.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata panel mesyuarat itu akan membuat penentuan dan keputusan berhubung perkara berkenaan.
“(Mesyuarat) AstraZeneca hari Khamis. JKJAV bermesyuarat hari Khamis pagi sebab esok jadual masing-masing ada tugas.
“Jadi kita tangguhkan mesyuarat JKJAV sehingga hari Khamis,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.
Sebelum ini, isu penggunaan vaksin AstraZeneca timbul di banyak negara, termasuk kenyataan terbaharu dikemukakan Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) berkaitan berlaku pembekuan darah dalam kalangan individu selepas menerima suntikan vaksin itu.
Keadaan itu menyebabkan beberapa negara di dunia menghentikan suntikan AstraZeneca, manakala segelintir negara menggantung penggunaannya.
Malaysia dijangka menerima 600,000 dos vaksin COVID-19 AstraZeneca menerusi kilang pembuatan vaksin itu di Thailand pada Jun depan, namun kerajaan ketika ini sedang menentukan sama ada meneruskan kemasukannya atau sebaliknya – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN