19 APRIL: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan mengemukakan hasil perbincangan berhubung prosedur operasi standard (SOP) antara Malaysia dan Arab Saudi, baru-baru ini kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Perbincangan itu diadakan ketika beliau bertemu pemimpin Arab Saudi dalam lawatan rasminya selama 10 hari ke negara terbabit sejak 10 April lalu bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan hubungan kerja kedua-dua negara yang turut memfokuskan kepada hal Ehwal haji dan umrah bagi umat Islam di Malaysia.
Zulkifli berkata, beliau akan turut mengemukakan hasil perbincangan diadakannya bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Tabung Haji dan BUMITRA Malaysia mengenai ibadah haji serta umrah.
“Kunjungan hormat bertemu Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdel Fattah Mashat menampakkan sinar baik untuk Malaysia, insya-Allah,” kataya menerusi muat naik di Facebook rasminya, malam tadi.
Beliau berkata, sehingga kini, kerajaan Arab Saudi belum membuat sebarang keputusan berhubung ibadah haji dan umrah musim ini.
Syarat terpenting pada masa ini, katanya adalah jenis vaksin yang akan digunakan kepada jemaah haji.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, beliau dimaklumkan sebahagian negara Islam tidak mempunyai sistem pengawasan dan kawalan COVID-19 telus serta teratur, menyebabkan kerajaan Arab Saudi sangat berhati-hati membuat sebarang keputusan terhadap pelaksanaan ibadah haji.
“Alhamdulillah, kerajaan Arab Saudi mengiktiraf disiplin jemaah haji Malaysia seperti tahun sebelumnya.
“Persediaan, komitmen dan kesiapsiagaan kerajaan Malaysia untuk ibadah haji 1442H amat dihargai kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Sementara itu, Zulkifli berkata, beliau sudah mengambil ujian Polymerase Chain Reaction (PCR), semalam sebagai mematuhi SOP ditetapkan dan akan menjalankan kuarantin sebaik tiba di Malaysia, esok.
Kerajaan Malaysia, katanya, sudah melaksanakan amanah besar itu dengan sedaya upaya dan sebaiknya, justeru beliau meminta semua pihak memanjatkan doa semoga Allah mempermudahkan segalanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN