20 APRIL: Sebanyak 19 sekolah di Selangor diarah tutup bermula semalam, selepas berlaku kes jangkitan COVID-19 yang dikesan di sekolah terbabit.
Menerusi surat pekeliling dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, arahan penutupan itu dilaksanakan bagi membolehkan kerja pembasmian kuman dan saringan kontrak rapat dilakukan.
Sekolah itu adalah Sekolah Agama Menengah (SAM) Bestari Subang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong, SMK Bandar Sri Damansara 2, SMK Damansara Jaya, SMK Seksyen 7, SMK USJ 23, SMK Puchong dan SMK Puchong Utama 1, SMK Seksyen 4 Bandar Kinrara, SMK Bandar Puncak Jalil, SMK Seksyen 20 dan SMK Puchong Perdana.
Manakala Sekolah Kebangsaan (SK) yang terbabit pula adalah SK Puchong Perdana, SK Bandar Baru Sri Damansara 2, SK Bukit Kuchai, SK Bandar Sri Damansara 3, SK Bukit Jelutong, SK USJ 20 dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai.
Susulan penutupan itu, pihak sekolah diarahkan menjalankan proses nyahkuman, selain memastikan kontak rapat kepada kes positif, dikuarantin.
Kesemua sekolah terbabit diarahkan tutup mengikut Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bermula hari ini sehingga satu tarikh yang dimaklumkan.