20 APRIL: Subsidiari milik 20 peratus Bina Puri Holdings Bhd, Bina Puri-Kalika-Samanantar JV telah mendapat kontrak bernilai RM183 juta bagi membina Kompleks Bangunan Mahkamah Agung di Kathmandu, Nepal.
Syarikat pembinaan sivil dan bangunan itu berkata, kontrak itu yang dianugerahkan oleh Mahkamah Agung Nepal adalah untuk tempoh 36 bulan bermula 1 April 2021.
“Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan Bina Puri bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021, 2022, 2023 dan 2024,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bina Puri dalam satu kenyataan media berkata projek itu melibatkan pembinaan bangunan tujuh tingkat termasuk dua tingkat bawah tanah serta bangunan struktur konkrit simen bertetulang dengan kemasan lengkap serta kerja-kerja mekanikal, paip dan elektrik.
Rakan kongsi Bina Puri dalam projek itu ialah Kalika Construction Pvt Ltd, sebuah syarikat pembinaan terkemuka di Nepal dengan lebih daripada 40 tahun pengalaman dan Samanantar Nirman Sewa Pvt Ltd.
Menurut Pengarah Eksekutif Kumpulan Datuk Matthew Tee, Bina Puri aktif menyertai tender projek-projek di dalam dan luar negara untuk menambah lagi tempahan dalam tangannya.
“Dengan projek terbaharu ini, tempahan dalam tangan kumpulan akan meningkat kepada RM1.9 bilion,” katanya.