20 APRIL : Siasatan segera sedang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Perak terhadap aduan kompaun RM1,500 yang dikeluarkan kepada pelajar Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng atas kesalahan tidak memakai pelitup muka sepertimana tular di media sosial mulai malam tadi.
Perkara itu dimaklumkan sendiri Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan balas di Twitternya lewat malam tadi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemberi aduan agar tindakan dan siasatan lanjut dapat dilakukan terhadap dakwaan tersebut.
“Siasatan segera sedang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak.
“Terima kasih atas aduan ini kepada KKM dan perkara ini akan diambil tindakan secepat mungkin. InsyaAllah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membalas ciapan seorang pemilik akaun bernama @NabilAmirul4 yang mendakwa pelajar matrikulasi terbabit dikenakan kompaun RM1,500 oleh pegawai KKM yang datang ke kafe kolej berkenaan.
Ciapan itu meluahkan rasa kekecewaan apabila para pelajar kerana elaun diterima mereka sebagai pelajar kolej itu bagi tempoh enam bulan hanya RM1,250.
Semalam, tular di Twitter apabila ada beberapa akaun yang mendakwa terdapat pelajar matrikulasi dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur pematuhan standard (SOP) dengan tidak memakai pelitup mulut di dalam kawasan kolej.
Perkara yang membuatkan ramai berasa kesal adalah pelajar tersebut langsung tidak dibenarkan keluar ke mana-mana sejak semester dibuka dan pihak berkuasa yang masuk ke dalam kolej untuk membuat pemeriksaan telah mengenakan kompaun kepada mereka tanpa budi bicara.
Tindakan KKM terhadap para pelajar matrikulasi ini membuatkan netizen mempersoalkan tindakan tersebut yang boleh menggunakan budi bicara terlebih dahulu sebelum bertindak untuk disaman. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH