20 APRIL: Kes baharu positif COVID-19 di Kuala Lumpur mula menunjukkan trend peningkatan apabila mencatatkan sebanyak 344 kes hari ini berbanding hanya 153 kes semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak bagaimanapun masih kekal mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 600 kes setakat tengah hari tadi diikuti Selangor (539) dan Kelantan (429) kes.
“Johor mencatatkan kes harian baharu sebanyak 102 kes, Pulau Pinang (92) , Sabah (82), Kedah (44), Perak (34), Melaka (19), Pahang (17), Negeri Sembilan (17) dan Terengganu (15).
“Tiga negeri mencatatkan kes satu angka iaitu Labuan dengan enam kes dan masing-masing tiga kes baharu di Putrajaya dan Perlis,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu kes baharu hari ini mencatatkan peningkatan semula hari ini iaitu sebanyak 2,341 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak itu di negara ini setakat tengah hari tadi 379, 373 kes.
Jumlah kes sembuh baharu dilaporkan sebanyak 1,592 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh akibat pandemik itu melonjak kepada 356, 816 atau 94.0 peratus daripada keseluruhan kes.
“Terdapat tiga kes kematian pada hari ini yang melibatkan masing-masing satu kes di Selangor, Sarawak, dan Sabah. Sebanyak dua kes melibatkan warganegara dan satu bukan warganegara.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 kini 1,389 kes atau 0.37 peratus daripada keseluruhan kes.
“Jumlah kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini pula adalah seramai 249 orang termasuk dan 95 yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Sementara itu, Noor Hisham memberitahu terdapat tujuh kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan empat kluster berkaitan komuniti serta dua kluster pendidikan termasuk satu kluster sekolah dan satu kluster tempat kerja.
Tambah beliau, Kluster baharu yang terlibat adalah Kampung Tengah Betong, Sarawak;Sungai Rian, Sarawak; Jalan Meranti, Selangor; Kluster Taman Dato Senu, Kuala Lumpur; Jalan Pasir Mas – Pohon Tanjung, Kelantan; Jalan Padang Lallang, Pulau Pinang dan Hala Kampung Jawa di Pulau Pinang
“Sebanyak 1,201 kluster telah tamat termasuk tujuh kluster yang tamat pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata, kluster tersebut adalah Kluster Jalan Industri Sofa, Kluster Andromeda, Kluster Nanga Bulo, Kluster Tapak Bina Jalan Salak, Kluster Industri Sungai Gadut, Kluster Jalan Changkat Jong, dan Kluster Jalan Awang.
“Jumlah kluster aktif kini adalah 340 kluster manakala bagi jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini 67 kluster.
“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Pulai Chondong (79 kes), Kluster Kampung Domis (51 kes), dan Kluster Sungai Rian (47 kes),” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH