20 APRIL: Penyanyi rock lagenda, Datuk Jamaludin Elias, 62, atau lebih dikenali sebagai Nash cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim, berkata kemalangan terbabit berlaku di Kilometer 250.8 (arah Utara) kira-kira jam 4 petang.
Berikutan itu, Nash mengalami kecederaan pada bahagian muka dan mengadu sakit pada dada dan telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, NegeriSembilan.
Beliau berkata kejadian berlaku apabila kenderaan yang dinaiki Nash iaitu jenis Toyota Harrier dipercayai terbabas sendiri dan tidak membabitkan kenderaan lain.
“Mangsa dalam perjalanan dari arah Johor menuju ke Kuala Lumpur bersama pemandunya.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dinaiki mangsa telah melanggar lopak air menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Said berkata pemandu kenderaan tersebut yang adalah seorang lelaki berumur 33 tahun pula mengalami kecederaan luka-luka ringan.
“Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.