20 APRIL: Pasangan suami isteri yang tular merentas negeri ke Johor kerana berbulan madu bulan lalu,masing-masing dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2,500 di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, selepas mengaku bersalah memberi maklumat palsu bagi tujuan berkenaan.
Tertuduh, Azharique Shah Abdul Jalil, 23 dan isterinya, Iram Naz Hafiz Sabir Muhammed, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.
Mengikut kertas pertuduhan, pasangan itu pada jam 2 petang 15 Mac lalu, ketika membuat permohonan untuk merentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke Johor, memberikan maklumat palsu secara bertulis kepada Ketua Balai Balai Polis Wangsa Maju, Asisten Superintendan Fairul Nizam Anuar.
Dengan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 22 (D) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar, manakala pasangan itu tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Wan Ahmad Hakimi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kerana kes itu membabitkan isu keselamatan orang awam.
“Seperti dilihat dalam muat naik gambar di Instagram (instastory), ada kata pujuk polis untuk rentas negeri, ini memberi kesan kepada orang awam.
“Sepatutnya kebenaran rentas negeri bukan untuk tujuan lain (tidak disalah guna). Kita lihat kes COVID-19 meningkat setiap hari.
“Dengan hukuman penjara, kita harap orang kena tuduh (OKT) dan individu lain tidak mengulangi perkara sama,” katanya.
Iram Naz dalam rayuannya memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara kerana dia adalah wakil tunggal untuk menyara keluarga.
Dia turut memohon hukuman minimum dan tidak dipenjarakan, selain akan mengelakkan daripada mengulangi kesalahan sama.
Katanya, dia dan suami hanya membuat tempahan penginapan hotel pada 26 Disember lalu, ketika rentas negeri dibenarkan untuk menyambut ulang tahun perkahwinan, namun ditunda beberapa kali.
“Kami cuba batalkan tempahan itu, namun hotel tidak mahu kembalikan wang deposit, menyebabkan kami meneruskan hasrat untuk merentas negeri pada 17 Mac lalu,” katanya.
Sementara itu, Azharique Shah mengaku mengambil ringan ketika mengisi borang rentas negeri dengan memberi alamat lain.
“Saya tidak sangka akan jadi macam ini kerana isteri ada rumah di Johor dan alamat diberikan itu mengikut alamat kad pengenalan isteri di Johor,” katanya.
Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Chai Sia kemudian memerintahkan pasangan itu dipenjara selama sehari bermula hari ini dan didenda RM2,500 setiap seorang.
“Perbuatan OKT memberi contoh buruk kepada masyarakat di mana sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tidak dibenarkan rentas negeri.
“Tempahan tempat penginapan tidak dapat dibatalkan dan wang tidak dikembali bukan satu alasan untuk merentas negeri,” katanya.