20 APRIL: Majlis Gurdwara Malaysia menafikan laporan tular di media sosial bahawa Malaysia akan mengalami bankrap, sebagai kononnya memetik ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presidennya, Jagir Singh berkata, tidak ada sebarang perkataan bankrap disebut Muhyiddin dalam Majlis Minum Petang Vaisakhi di Gurdwara Sahib, Petaling Jaya pada 12 April lalu.
“Jika kenyataan beliau itu diambil menerusi konteks tepat, apa dikatakan Perdana Menteri adalah disebabkan COVID-19 dan kesan ekonomi, kerajaan terpaksa membelanjakan lebih RM600 bilion.
“Perbelanjaan besar ini kata Perdana Menteri sudah menyebabkan baki wang kerajaan tidak lagi banyak.
“Ini sangat berbeza dengan apa yang dikatakan sebagai ‘negara hampir bankrap’ seperti tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Laporan sebuah laman berita kewangan berbahasa Inggeris, baru-baru ini mendakwa Muhyiddin Yassin memaklumkan Malaysia hampir bankrap ketika beliau menghadiri acara berkenaan.
Jagir dalam penafiannya itu, turut melampirkan transkrip asal apa dinyatakan Muhyiddin ketika ucapan pada majlis itu.
“Saudara tahu kita sudah belanja banyak wang tahun ini, tahun lalu. Apa sebab? It is all about COVID and economy (Perbelanjaan itu semuanya mengenai COVID dan ekonomi). RM340 bilion untuk pakej-pakej rangsangan, RM322.5 bilion untuk Belanjawan Negara.
“Saya fikir banyak orang Sikh faham. Akauntan pun ada sini. It is more than RM600 billion for this year alone (perbelanjaan tahun ini sahaja lebih daripada RM600 bilion). There is big sum of money (Jumlah ini besar). What i am trying to say here is, we don’t have much money left (Apa cuba saya katakan di sini, kita tidak mempunyai baki wang yang banyak),” kata Muhyyiddin pada majlis itu seperti dinyatakan Jagir dalam kenyataannya.
Justeru, Jagir berkata, pihaknya berharap menerusi kenyataannya itu, akan menjelaskan kekeliruan yang kini berlaku berhubung perkara terbabit.