20 APRIL : Dakwaan mengatakan sembilan murid daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka disahkan positif COVID-19 yang tular di media sosial sejak semalam merupakan berita palsu dan tidak benar.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Naharudeen Othman berkata, sehubungan itu, pihaknya telah membuat laporan berhubung dakwaan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar kira-kira jam 10 pagi tadi.
Menurut beliau, laporan polis dibuat berikutan penularan maklumat yang tidak benar itu mengundang rasa panik terhadap ibu bapa dan pelajar di sekolah seluruh negeri.
“Apa yang ditularkan di media sosial semalam adalah tidak benar, hanya seorang sahaja pelajar yang disahkan positif COVID-19 dan lain-lain murid yang menjadi kontak rapat disahkan negatif dan sedang dalam proses kuarantin.
“Jumlah kehadiran murid di SK Guar Nangka dan sekolah di sekitarnya merosot kepada 35 peratus akibat kebimbangan ibu bapa terhadap dakwaan yang tular itu,” katanya pada sidang media di Kangar, Perlis, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew mengesahkan menerima laporan polis itu dan menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan boleh mengganggu ketenteraman awam
“Ini kerana perkara itu boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan berita palsu,” katanya.