20 APRIL : Tiga lagi individu ditahan susulan tular dua lagi video terbaharu mempromosi judi dalam talian berdurasi 48 saat dan 30 saat yang memaparkan seorang wanita Melayu bertudung semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, tiga suspek yang ditahan terlibat dalam pembikinan video tersebut dan dua laporan polis telah dibuat susulan video berkenaan.
“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi video tersebut.
“Perbuatan sedemikian bukan sahaja salah di sisi undang-undang tetapi boleh mendatangkan keresahan dan kegusaran awam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Zainal menegaskan sama sekali polis tidak akan berkompromi ke atas semua pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian dan pembikinan video itu.
“Tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.
Terdahulu, belum lagi reda isu dua video judi Hari Raya yang mempromosi aktiviti perjudian dalam talian, PN BBC Portal mendedahkan klip video judi terbaharu memaparkan wanita Melayu bertudung mulai tular hari ini.
Walaupun tidak berbentuk video lagu raya seperti sebelum ini, namun ia masih mengetengahkan konsep yang sama dan dilihat video ini lebih jelas mengajak orang ramai untuk bermain judi.
Kemunculan iklan dalam bentuk video berdurasi 30 saat itu memaparkan watak seorang wanita mengajak orang ramai bermain pelbagai aktiviti perjudian yang disediakan oleh Syarikat ECC Empire.
Antara bait kata-kata yang dipaparkan adalah “minat main slot games, live baccarat dan roulette syarikat ECC Empire adalah pilihan pertama anda. Seminit deposit tiga minit withdraw.
“Deposit sekarang anda akan dapat welcome bonus 50 peratus dan dapat tambahan angpau percuma RM5. Jom mari main game dengan saya. Jika anda mahu cuba, cuba yang paling selamat.”
Bagi video kedua berdurasi 48 saat, PNBBC Portal cuba mencari video tersebut di media sosial namun dipercayai video tersebut telah dipadamkan di kesemua media sosial yang menjadi ikutan orang ramai. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH