21 APR: Kementerian Kewangan mengumumkan harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing kekal RM2.05 dan RM2.15 seliter bagi tempoh 22 hingga 28 April ini.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, harga runcit RON97 yang sebelum ini RM2.54 seliter dinaikkan kepada RM2.58 seliter sepanjang tempoh berkenaan berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan akan mengekalkan paras harga siling RM2.05 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.15 seliter bagi diesel walaupun harga runcit APM bagi RON95 dan diesel telah meningkat lebih 10 sen berbanding had harga siling yang telah ditetapkan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas kementerian itu lagi, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.