21 APRIL : Kelantan mencatatkan kadar kebolehjangkitan (RT) harian tertinggi di negara ini iaitu 1.43 berbanding RT nasional 1.19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, nilai tersebut merupakan jangkaan mengikut kes harian pada hari semalam.
“Kadar Rt Kuala Lumpur adalah 1.28 diikuti Negeri Sembilan (1.18), Sarawak (1.17), Terengganu (1.15), Selangor (1.10) dan Sabah (1.10),” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini
Dalam pada itu, Noor Hisham menambah, Kedah merekodkan nilai Rt 1.09, Melaka (1.06) dan Pahang (1.0).
“Empat negeri merekodkan kadar Rt di bawah satu adalah Pulau Pinang (0.91), Putrajaya (0.97), Johor (0.9) dan Perak (0.82),” katanya.
Nilai Rt merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan Kelantan merekodkan 429 kes positif Covid-19 yang membabitkan 426 jangkitan tempatan, satu kes penjara dan dua kes import B serta C.