21 APRIL: Kompaun yang tinggi sebanyak RM10,000 nampaknya masih gagal memaksa orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ini dapat dilihat apabila kes ingkar SOP PKP meningkat secara mendadak semalam apabila seramai 230 individu dikesan melanggar SOP berbanding hanya 110 kelmarin.
Kenaikan itu juga menyaksikan angka tertinggi dicatatkan bagi kesalahan itu sejak lebih dua minggu lalu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 228 individu dikompaun, manakala dua direman.
“Kesalahan paling tinggi direkodkan adalah gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis, iaitu 77 individu, diikuti tidak memakai pelitup muka (52) dan aktiviti pusat hiburan (31).
“Selain itu, tiada penjarakan fizikal merekodkan 14 individu, gagal menyediakan peralatan merekod diri dan pelanggan (2) serta lain-lain (54),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.
Ismail Sabri berkata, mengenai kawalan sempadan negara pula, pihak berkuasa menahan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI), semalam menerusi Operasi Benteng, selain merampas empat kenderaan darat.
“Dalam operasi tu, pihak berkuasa turut mengesan 180 buah bot dan kapal di perairan negara menerusi empat aktiviti penglihatan,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN