21 APR: Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam hari ini memohon maaf atas kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di atas kenyataan salah dan tuduhan melulu yang dibuatnya di laman Facebook dan YouTube peribadinya pada 13 Disember 2020 lalu.
Lokman berkata beliau mengakui kenyataan dikeluarkannya terhadap bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkenaan adalah salah dan mesej pesanan WhatsApp tersebut adalah tidak berkaitan langsung dengan Annuar.
“Saya akui pengesahan maklumat yang saya buat adalah tidak tepat sehingga saya mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat.
“Saya juga akui maklumat yang saya terima adalah tidak tepat dan WhatsApp tersebut adalah antara YB Dato’ Takiyuddin Hassan dan YBM Dato’ Sri Tengku Zafrul, tiada langsung kaitan dengan YB Tan Sri Annuar Musa,” jelas Lokman melalui kenyataan Facebooknya.
Mengulas lanjut, Lokman berkata beliau akur dengan kesilapan dirinya yang menyebabkan nama baik, imej, integriti dan reputasi Annuar sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Ketereh tercemar, terjejas dan terpalit dengan komen-komen berbau fitnah.
Terdahulu, Lokman Adam melalui akaun Facebooknya serta profile ‘Lokman Adam’ dan YouTube ‘Lokman Adam’ telah memuat naik status yang berbaur fitnah kepada Annuar Musa yang bertajuk ‘((GEMPAR)) WHATSAPP ANTARA ZAFRUL/ANUAR MUSA/TAKIYUDDIN – PROJEK UNTUK IBU ZAFRUL & ANAK MUHYIDDIN pada 13 Disember tahun lepas.
“Saya menyesali kesilapan saya dan menarik balik keseluruhan dan tuduhan terhadap YB Tan Sri Datuk Sri Panglima Hj Annuar bin Haji Musa dan beraku janji untuk tidak mengulangi penyataan tersebut lagi.
“Sekali lagi, dengan tulus ikhlas saya memohon maaf kepada YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Hj Annuar bin Haji Musa di atas kekhilafan saya,” katanya.
Sementara itu, Annuar dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau dimaklumkan oleh peguamnya mengenai permohonan maaf itu dan menerima permohonan itu melihat kepada keikhlasan dan kejujuran yang dipamerkan Lokman.
“Saya memahami bahawa saya sering menjadi sasaran fitnah dari berbagai pihak dan bersedia menggunakan hak saya untuk menegakkan kebenaran menurut jalur undang undang.
“Bersesuaian dengan bulan Ramadan yg mulia ini, di mana kita dituntut memperbanyakkan ibadat dan melakukan amal makruf serta saling memaafkan, saya mengambil pendirian menerima permohonan maaf beliau atas kekhilafan dan kecuaiannya.
“Saya bersyukur Datuk Lokman Adam telah mengakui kesilapannya,” katanya.