21 APRIL: Jemaah Menteri telah meluluskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang berperanan sebagai kerangka pertumbuhan masa depan serta menggariskan asas bagi pembaharuan dasar pelaburan negara ini.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata NIA juga menjadi teras bagi merancakkan semula iklim pelaburan Malaysia, menarik pelaburan berkualiti tinggi ke dalam negara selain mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, khususnya pada tempoh pasca-COVID-19.
“Sejajar usaha melangkah ke depan, Malaysia perlu mengguna pakai satu pendekatan komprehensif untuk mempergiat semula ekosistem pelaburan serta memberi tindak balas sewajarnya terhadap kemunculan perkembangan trend mega selain keperluan pelabur yang sentiasa berubah.
“Malaysia perlu berani bangkit untuk menghadapi cabaran ini dengan sentiasa meningkatkan nilai unik negara yang merentasi pelbagai elemen seperti insentif, kemudahan, tenaga kerja, infrastruktur selain mekanisme perundangan, pengawalseliaan, presedur dan institusi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamed Azmin berkata, sejajar dengan penekanan itu, teras NIA menumpukan aspek kejelasan serta keteguhan dengan kesemua aspirasi ini dipaparkan dalam semua dokumen dasar kebangsaan serta inisiatif berkaitan pelaburan, termasuk Pelan Induk Perindustrian Keempat dan Rancangan Malaysia Ke-12.
Sehubungan itu, katanya, NIA berteraskan lima parameter sebagai asas bagi mempertingkat daya saing dan memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan.
“Kesemua aspirasi ini membolehkan Malaysia muncul sebagai hab pelaburan serantau yang akan meningkatkan kepelbagaian ekonomi menerusi pertumbuhan produk dan perkhidmatan serba canggih dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan dan inovasi yang tinggi.
“Ini akan turut mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi yang mewujudkan pendapatan lebih baik untuk rakyat, mengembangkan serta menyepadukan jaringan domestik ke dalam rantaian bekalan serantau dan global dengan memantapkan daya tahan.
“Aspek lain termasuk membangunkan kluster baharu dan sedia ada dengan menumpukan sektor produktiviti tinggi, termasuk produk-produk dan perkhidmatan tempatan sambil meningkatkan keterangkuman untuk menyumbang ke arah agenda pembangunan sosioekonomi,” katanya.
Malah, sejajar usaha bagi meningkatkan kepelbagaian dan penglibatan dalam industri lebih kompleks, beliau berkata penekanan itu perlu disasarkan ke arah penerapan rejim cukai dan insentif lebih dinamik dan mantap, mewujudkan kelompok bakat atau tenaga kerja menerusi kerjasama dengan industri berkaitan, meningkatkan rangka kerja pelesenan dan pengawalseliaan serta pemudahcara seperti prosedur kastam.
Mohamed Azmin berkata NIA turut mengiktiraf kepentingan peranan strategi penggalakan pelaburan bagi menarik pelaburan berkualiti.
NIA juga akan menjadi garis panduan dasar dan langkah bukan dasar yang melibatkan penekanan khusus terhadap promosi serta kemudahan strategi pelaburan yang lebih bersasar, relevan dan berkesan.
“Ini penting dalam usaha memastikan pelaburan dalam sektor keutamaan yang dikenal pasti dapat memasuki negara dan seterusnya membawa kepada impak limpahan ekonomi yang positif,” katanya.
Selain itu, katanya, NIA turut menumpukan aspek keterangkuman dan kemampanan yang selaras dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) berikutan pelaburan baharu yang berteraskan elemen-elemen itu dan seterusnya mendorong pertumbuhan sektor sofistikated dari segi teknologi selain mengukuhkan hubungan di masa depan serta jaringan terbabit.
“Bagi jangka panjang, NIA menggalakkan kelangsungan aliran pelaburan berkualiti dalam bidang pertumbuhan baharu dan berkemungkinan kompleks, memupuk inovasi dan elemen canggih, mewujudkan peluang pekerjaan dan mempertingkat prospek pendapatan.
“Ini akan turut meningkatkan lagi keyakinan pelaburan dan perniagaan di Malaysia ketika kita terus mengekalkan daya saing dan menawarkan khidmat sebagai pusat aktiviti ekonomi dan perniagaan di rantau ini,” katanya.