21 APRIL: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memberikan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) bagi Kluster South East Collins di bawah terma Aset Lapangan Kecil (SFA) PSC yang baharu diperkenalkan, kepada Vestigo Petroleum Sdn Bhd.
Dalam kenyataan hari ini, Petronas berkata Kluster South East Collins yang terletak di kedalaman air antara 42 hingga 45 meter, 70 kilometer timur laut Pulau Labuan terdiri daripada dua lapangan iaitu South East Collins dan Lokan yang ditemui pada 1980-an.
“Dengan gabungan anggaran 10 juta tong tangki stok (MMstb) yang boleh diusahakan, Kluster South East Collins kini adalah pemangkin untuk pembangunan di bawah terma SFA PSC yang baharu,” katanya.
PSC yang ditandatangani hari ini diwakili Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Mohamed Firouz Asnan bagi pihak Petronas, manakala Vestigo diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Hazanie Jamian.
Mohamed Firouz berkata pemberian kluster lapangan di bawah terma fiskal baharu yang amat dinanti-nantikan itu dijangka merangsang kemajuan dan pengeluaran lebih banyak lapangan kecil pada masa akan datang.
“SFA PSC baharu itu bertujuan mengewangkan inventori peluang sumber kecil yang ditemui di perairan Malaysia. Vestigo telah dipilih berdasarkan rekod prestasinya sebagai operator kos rendah dalam membangunkan dan mengendalikan lapangan kecil.
“Agar banyak lapangan ini dapat berfungsi, kami memerlukan operator yang mempunyai minda dan model perniagaan yang tepat untuk memanfaatkan terma fiskal dan bukan fiskal khusus yang ditawarkan Petronas.
“Melalui harga minyak yang turun naik pada masa ini, operator ini perlu menggunakan penyelesaian inovatif untuk memastikan jumlah kos kitaran hayat yang terendah,” katanya.