22 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal memperoleh kebenaran mahkamah bagi mencabar tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat.
Ini berikutan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Mariana Yahya yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Ketua Pembangkang itu selaku pemohon.
Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali berkata Hakim Mariana menolak permohonan itu atas alasan mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar semakan kehakiman pemohon berdasarkan Perkara 150(6) dan 150(8) Perlembagaan Persekutuan.
“Nasihat Jemaah Menteri dan Muhyiddin kepada Al-Sultan Abdullah untuk memasyhurkan Ordinan Darurat adalah tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
“Mahkamah menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman pemohon tanpa perintah dengan kos,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas keputusan permohonan itu menerusi aplikasi Zoom hari ini.
Prosiding itu turut disertai Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy manakala Anwar diwakili peguam Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur Deo.
Sementara itu, Sangeet ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara itu.
Pada 4 Mac lalu, AGC membantah permohonan itu atas alasan ia terhalang oleh Perkara 150(6) dan Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman pada 25 Jan lepas, dengan menamakan perdana menteri dan kerajaan masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Beliau memohon deklarasi bahawa keputusan yang diberikan oleh Jemaah Menteri, diketuai Muhyiddin untuk menasihati Al-Sultan Abdullah untuk memasyhurkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang telah mengakibatkan penggantungan Parlimen adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah, tidak mempunyai sebarang kesan dan ultra vires.
Anwar memohon deklarasi bahawa Seksyen 14 Ordinan Darurat itu tidak konsisten dengan Perkara 150(3) dan (5) Perlembagaan Persekutuan serta tidak berpelembagaan dan tidak sah selain memohon perintah mandamus memerintahkan kedua-dua responden untuk menasihatkan Al-Sultan Abdullah supaya membatalkan Seksyen 14 Ordinan Darurat berkenaan.