Bantuan khas hari raya tunjuk keprihatinan kerajaan
22 APRIL: Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2021 disifatkan sebagai keprihatinan kerajaan bagi meringankan bebanan penjawat awam membuat persiapan menjelang lebaran.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata pemberian bantuan itu juga dianggap penghargaan daripada kerajaan terhadap jasa, pengorbanan dan komitmen penjawat awam menjalankan tanggungjawab mereka kepada rakyat, termasuk ketika situasi mencabar negara berdepan COVID-19 sejak lebih setahun lalu.
Katanya, walaupun jumlah bantuan itu adalah sama seperti tahun sebelumnya, nilai terbabit masih berpatutan, malah lebih penting menggembirakan penjawat awam yang melihat pemberian ini sebahagian tradisi hari raya yang turut dihantar kepada ibu bapa di kampung.
“Cuepac ada mengemukakan surat mengusulkan permohonan berhubung bantuan Aidilfitri untuk tahun ini kepada kerajaan dua minggu lalu, justeru kita sangat menghargai bantuan kewangan diberikan.
“Kita menyedari kesukaran kerajaan dalam memenuhi semua kehendak, terutama dalam keadaan COVID-19, tetapi pada masa sama penjawat awam memerlukan sedikit ransangan bantuan menjelang Aidilfitri.
“Malah pemberian ini juga umpama ‘transit’ kepada penjawat awam yang akan menyaksikan berlaku kitaran ekonomi apabila mereka berbelanja, termasuk menjana pendapatan peniaga kecil,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya hari ini, memaklumkan penjawat awam pada Gred 56 dan ke bawah, termasuk kakitangan Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian dan lantikan di bawah MySTEP, bakal menerima bantuan sebanyak RM500 hari raya.
Menurut kenyataan itu, kerajaan turut bersetuju memberi bantuan sama berjumlah RM250 kepada pesara kerajaan.
Pembayaran bantuan itu akan dimasukkan bersama dengan pembayaran gaji bulan Mei, iaitu pada 6 Mei 2021 dan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan pesara.
Adnan berkata, penjawat awam juga perlu menunjukkan penghargaan ke atas bantuan diberikan kerajaan dengan meneruskan momentum kecemerlangan dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing, demi menjayakan agenda pemulihan ekonomi serta dasar prihatin rakyat.
“Dengan keprihatinan kerajaan ini, penjawat awam, harus menunjukkan tanda terima kasih dengan kekal fokus kepada tugas.
“Pastinya kerajaan mahukan ‘timbal balas’ daripada penjawat awam dengan mengharapkan mereka menjalankan tugas secara lebih produktiviti dan integriti,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN