22 APRIL: Tindakan pihak yang menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta keluarga Seri Paduka Baginda menerusi media sosial semakin berleluasa dan amat membimbangkan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU),Mohd Yazid Mohd Yunus berkata perbuatan ini dilakukan oleh golongan berkepentingan yang mengambil peluang tidak menghiraukan adat dan adab dalam masyarakat di negara ini.
Malah, menurut beliau, ada yang menggunakan akaun palsu yang dilihat sengaja mahu menyerang institusi Istana.
“Saya juga kesal pembangkang dengan diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, DAP dan PKR seolah-olah mengambil peluang mahu menimbulkan perasaan marah rakyat terhadap institusi Raja Berperlembagaan.
“Sudah pasti ada kepentingan politik yang mereka kejar sehingga sanggup mengapi-apikan rakyat. Tuduhan bahawa ramai rakyat yang marah kepada institusi Istana langsung tiada fakta sokongan dan hanyalah tuduhan politik kosong sahaja.
“Walaupun ianya disulami dengan perkataan “Ampun Tuanku”, mesej sebenar mereka seolah-olah mahu memperlekeh Yang Dipertuan Agong,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Yazid memberitahu kepentingan Institusi Raja adalah jelas dan nyata termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan teras utama sistem pemerintahan negara.
“Institusi ini, terutama Seri Paduka Baginda serta Raja Permaisuri Agong, perlu dilindungi daripada hinaan, cemuhan dan ejekan melampau yang boleh membawa kerosakan kepada imej dan reputasinya,” katanya.
Justeru itu, Mohd Yazid yang juga merupakan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Pahang menggesa supaya tindakan tegas diambil dengan menggabungkan semua agensi yang berkaitan untuk membanteras habis-habisan komen-komen yang tidak menghormati institusi Raja.
“Saya juga menyeru orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran serta mengganggu keharmonian negara,” katanya. – Oleh-AIMAN SADIQ ABDULLAH