22 APRIL: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad, memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat.
Bagaimanapun, Khalid yang juga Pengerusi jawatankuasa itu berkata, tarikh dan masa menghadap baginda bagi penyerahan petisyen merayu supaya darurat ditamatkan seperti diusulkan dalam memorandum dihantar kelmarin, belum ditetapkan.
“Sukacita dimaklumkan bahawa pagi ini saya menerima warkah dari Istana Negara memaklumkan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong bersetuju untuk menerima menghadap Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat bagi menyerahkan petisyen merayu agar darurat ditamatkan.
“Walaupun tarikh menghadap belum lagi ditentukan, kami yakin satu tarikh akan ditetapkan seberapa segera untuk membolehkan kami semua menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan petisyen rayuan terbabit. Kesan buruk darurat semakin ketara hari ke hari,” katanya.
Khalid berkata, warkah dari Istana Negara itu ditandatangani Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Merayu Penamatan Darurat, saya mengucapkan jutaan terima kasih atas keperihatinan Yang di-Pertuan Agong. Patik semua menjunjung kasih di atas kesediaan Tuanku bertemu kami,” katanya.
Selasa lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Khalid hadir ke Istana Negara bagi membuat permohonan menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Permohonan itu adalah bagi merayu perkenan Al-Sultan Abdullah menamatkan darurat yang diisytiharkan baginda Januari lalu, pada kadar segera. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN