22 APR: Kerajaan bersedia memberikan moratorium dan melonggarkan syarat pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) sehingga Disember ini.
Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata biarpun kementerian memberikan kelonggaran kepada majikan, namun pihak berkuasa tetap akan meneruskan aktiviti penguatkuasaan bagi memantau pematuhan terhadap Akta 446.
“Walaupun kita beri kelonggaran, mereka (majikan) harus bermula dari sekarang. Jangan bila kita nak kuat kuasakan Disember nanti, baru nak bina rumah (pekerja),” katanya kepada pemberita mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pengurusan Pekerja Asing di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini media, melaporkan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) merayu diberi masa dan ruang untuk memenuhi akta berkenaan berikutan banyak syarikat masih terkesan akibat pandemik Covid-19.
Akta 466 membabitkan hal ehwal pekerja dikuatkuasakan pada 1 Sept tahun lalu.
Pada September tahun lalu, Saravanan menegaskan kementeriannya tidak akan menangguhkan penguatkuasaan Akta 446 walaupun terdapat permintaan untuk berbuat demikian oleh pihak majikan.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, penguatkuasaan Akta 446 (Pindaan) 2019 yang bermula pada 1 September 2020 bukanlah dilakukan secara terburu-buru.
Malah, menurut beliau, sebelum penguatkuasaan dilaksanakan, hebahan berhubung tarikh penguatkuasaan telah dibuat secara meluas sejak Mei lalu.
“Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 telah dipinda kepada Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019.
“Akta ini telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 18 September 2019 serta diwartakan pada 23 September 2019,” katanya dalam kenyataan media, pada tahun lalu.
Saravanan mengulas tentang kenyataan ini sebagai maklum balas kepada permintaan pihak persatuan majikan Malaysia untuk menangguh penguatkuasaan akta tersebut yang dibuat melalui MEF dan Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM).