22 APRIL: Khabar gembira buat penjawat awam apabila bakal menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2021 sebanyak RM500.
Pejabat Perdana Menteri, berkata bantuan itu adalah untuk semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, termasuk kakitangan Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian dan lantikan di bawah MySTEP.
Katanya, kerajaan turut bersetuju memberi bantuan sama berjumlah RM250 kepada pesara kerajaan.
“Pembayaran bantuan ini akan dimasukkan bersama dengan pembayaran gaji bulan Mei, iaitu pada 6 Mei 2021.
“Bantuan akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan pesara,” kata kenyataan itu, hari ini.
Menurut kenyataan itu, pengumuman pemberian bantuan berkenaan pada tahun ini, dibuat lebih awal berbanding sebelumnya atas keprihatinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Kerajaan dalam membantu golongan terbabit membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Pemberian ini juga, bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, terutama semasa negara mengharungi tempoh COVID-19 yang penuh cabaran ini.
“Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara, selain dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN & HAIKA KHAZI