22 APRIL: Polis sudah membuka satu kertas siasatan berhubung sepucuk surat mengecam bunyi kuat dari Masjid Jamek Ketua Haji, Bandar Bahau, Bahau, Jempol, Negeri Sembilan dan memaki orang Melayu yang tular di media sosial, sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia dan Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Berhubung isu berkenaan, katanya, polis sudah memanggil pihak dipercayai menghantar surat kepada pengurusan masjid berkenaan.
Surat ditulis tangan itu, katanya, mendakwa keadaan bunyi kuat dari masjid, selain mengatakan institusi agama terbabit menjadi tempat ramai orang berkumpul sehingga boleh menyebabkan penularan COVID-19 dan memaki hamun orang Melayu.
“Pihak jawatankuasa masjid membuat laporan polis berhubung surat terbabit supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, semalam.
Chang Hook berkata, kandungan surat itu juga mengaitkan pembabitan sebuah restoran di Taman Meranti, Bahau namun dinafikan pemiliknya yang turut membuat laporan polis.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan jangan mengambil tindakan menyalahi undang-undang,” katanya. – Oleh: FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN