22 APR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuka satu kertas siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan konsesi balak melibatkan Yayasan Negeri Sembilan (YNS)
Justeru, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Mohamad Zakkuan Talib, menafikan dakwaan pihaknya tidak meneruskan siasatan atau ‘menyejuk beku’ isu salah guna kuasa dan penyelewengan konsesi balak melibatkan YNS.
“Siasatan lanjut berhubung isu berkenaan masih berjalan dan SPRM Negeri Sembilan bukan sahaja menyiasat isu konsesi balak di kawasan Lenggeng bahkan turut menyiasat keseluruhan kawasan konsesi balak melibatkan YNS sejak tahun 2014 lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini
Kenyataan itu dikeluarkan susulan dakwaan artikel seorang penulis blog bertajuk ‘Pencegah Rasuah Pun Bapak Rasuah’ yang disiarkan hari ini dan menyenaraikan 20 perkara utama antaranya membabitkan unsur rasuah serta salah guna kuasa individu tertentu termasuk dakwaan siasatan kes balak YNS telah disejukbekukan oleh SPRM.
Berikutan itu Zakkuan meminta semua pihak supaya menghentikan sebarang spekulasi dan menyebarkan berita-berita palsu berhubung perkara berkenaan sebagaimana yang disiarkan dalam blog dan akaun Facebook baru-baru ini.
“Bagi isu konsesi balak YNS ini, siasatan awal mendapati konsesi balak yang diberikan kepada yayasan berkenaan telah bermula sejak 2014 dengan kuota sebanyak 2,500 hektar setiap tahun.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan mana-mana pihak digesa untuk hentikan sebarang spekulasi serta menyebarkan berita palsu berhubung perkara ini,” katanya.
Pada 16 April lalu, kerajaan Negeri Sembilan menyerahkan kepada pihak SPRM bagi menyiasat berhubung isu pengeluaran kayu balak di kawasan Lenggeng.
Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam hal tersebut dan akan sentiasa memberi bekerjasama kepada pihak SPRM.