22 APR: Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh pegangan pajakan bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas, di Seksyen 49, Jalan Bukit Nanas, Kuala Lumpur untuk tempoh 60 tahun lagi
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kerajaan berbuat demikian selepas mempertimbangkan permohonan Lembaga Pengelola SMK Convent Bukit Nanas untuk menyambung tempoh pegangan pajakan tanah tapak sekolah itu yang akan tamat pada 6 September 2021.
“Setelah meneliti dan mengambil kira kepentingan sumbangan SMK Convent Bukit Nanas kepada pendidikan negara sejak 1899, Kerajaan telah bersetuju supaya tempoh pegangan pajakan bagi SMK Convent Bukit Nanas yang terletak di Seksyen 49, Jalan Bukit Nanas, Kuala Lumpur dilanjutkan untuk tempoh 60 tahun.
“Kebenaran ini diberikan khusus untuk tujuan pendidikan sahaja,” katanya, hari ini.
Pejabat Perdana Menteri juga mengesahkan Ketua Setiausaha Negara bersama Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan juga telah mengadakan pertemuan dengan Sr Theresa Chua Siu Yan, Lady Superior of the Society of Saint Maur yang mewakili Lembaga Pengelola SMK Convent Bukit Nanas baru-baru ini.
Katanya, kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan penyelesaian yang dibincangkan.
“Semoga dengan keputusan ini, SMK Convent Bukit Nanas akan terus melakar kejayaan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan dalam melahirkan modal insan negara yang berkualiti tinggi,” katanya.