23 APRIL : Dua unit kediaman di Kondominium Bukit OUG, Bandar Bukit Jalil, Kuala Lumpur , musnah dalam kebakaran kira-kira jam 9.10 malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Kuala Lumpur menerusi kenyataan memaklumkan kebakaran berlaku di tingkat 12, membabitkan dua unit kediaman berkeluasan.
Menurut JBPM Kuala Lumpur, Bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 9.14 malam.
“Sebaik menerima maklumat, pihak bomba menghantar sembilan jentera bomba dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bukit Jalil, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Sri Petaling, BBP Seputeh, termasuk ambulans ERMS dengan kekuatan 45 pegawai dan anggota ke lokasi kejadian.
“Pihak bomba yang tiba pada jam 9.23 malam menggunakan teknik ‘attacking’ dan ‘offensive fire fighting’ sebagai tindakan operasi pemadaman kebakaran.
“Api dapat dikawal daripada merebak ke bahagian lain pada jam 10.10 malam dan dipadamkan sepenuhnya 11 minit kemudian,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Tambahnya, tiada mangsa yang terbabit dalam kebakaran ini dan punca kejadian masih dalam siasatan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH