23 APRIL: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta pertimbangan khas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin agar memberikan cuti kuarantin kepada guru yang menjadi kontak rapat kes COVID-19 sebelum menerima surat kuarantin daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, berkata guru menghadapi masalah berikutan bilangan Cuti Rehat Khas (CRK) yang terhad, sekali gus memaksa mereka hadir ke pejabat untuk bertugas seperti biasa.
Menurut beliau, pihaknya menerima makluman kesukaran guru terbabit yang perlu mengambil cuti rehat khas sebelum menerima surat kuarantin daripada Pejabat Kesihatan Daerah.
“Masalah timbul apabila surat kuarantin daripada pihak berkuasa lewat tiba berikutan peningkatan kes pada masa ini sedangkan kuota cuti rehat khas agak terhad.
“Keadaan ini menyebabkan guru yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif COVID-19 tiada pilihan lain selain perlu hadir ke pejabat untuk bertugas seperti biasa.
“Atas faktor inilah, kebolehjangkitan virus akan mudah merebak dengan lebih meluas dalam kalangan warga sekolah dan paling membimbangkan ialah risiko kepada murid yang kurang daya ketahanan badan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Justeru itu, Huat Hock memberitahu pertimbangan khas itu amat diharapkan berikutan pihaknya dihujani pertanyaan berkenaan isu guru yang mempunyai kontak rapat kes positif COVID-19 diminta mengambil CRK.
Beliau menambah, pihaknya merayu agar Radzi dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mengkaji dan merumuskan jalan terbaik bagi membantu guru terbabit.
“Bagaimanapun guru terbabit menghadapi masalah untuk menjalani kuarantin diri kerana perlu mengambil CRK sebelum menerima surat kuarantin daripada PKD.
“Seperti semua sedia maklum, kes penularan COVID-19 sudah meningkat di negara dan ramai dijangkiti wabak ini hingga menyebabkan proses mendapatkan surat kuarantin mengambil masa lama,” katanya.
Huat Hock berkata, pertimbangan khas daripada menteri itu penting berikutan kuota CRK yang diperuntukkan kepada guru tidak mencukupi.
“Namun jika guru diberikan cuti kuarantin mereka tetap boleh menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara luar talian atau offline seperti membuat rakaman pengajaran dan murid dapat pembelajaran apabila berada di rumah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH