23 APRIL: Kerajaan persekutuan telah meluluskan permintaan kerajaan negeri Sarawak bagi membeli sendiri vaksin COVID-19 bagi kegunaan rakyat di negeri tersebut.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kelulusan itu diberi susulan pertemuan beliau dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin di Putrajaya, baru-baru ini.
Sehubungan itu, menurut beliau, Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (SCOVAG) diberi tanggungjawab melakukan perbincangan dengan pembekal vaksin bagi tujuan tersebut.
“Jadi, kita sekarang sedang berbincang dengan pihak dan badan berkaitan supaya kita boleh menyelesaikan pembelian vaksin yang akan digunakan sebagai simpanan sekiranya ada masalah pembekalan dari Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau proses pemberian vaksin Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Sarawak, hari ini.
Terdahulu, Uggah pada 18 Mac lalu memaklumkan Sarawak sudah menghantar surat kepada kerajaan persekutuan mengenai hasrat Sarawak untuk membeli sendiri vaksin COVID-19 bagi negeri itu.
Sementara itu, mengulas mengenai pendaftaran Program Imunisasi negeri Sarawak, Douglas berharap kerajaan persekutuan boleh menerima pendaftaran secara manual yang membabitkan penduduk di luar bandar.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata kebanyakan penduduk di kawasan luar bandar di Sarawak tidak mempunyai kemudahan telefon pintar untuk melakukan pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera dan hanya boleh mendaftar melalui pejabat residen dan daerah.
“Kita juga ada meminta mereka yang berada di luar bandar untuk mendaftar menggunakan telefon milik pejabat daerah atau residen. Apabila mereka menerima janji temu untuk divaksin, maka pegawai di pejabat berkenaan akan menghubungi penerima itu,” katanya.
Seramai 929,435 individu disasarkan menerima vaksin bagi Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Sarawak yang bermula Isnin lalu.