23 April: Gara-gara tidak diberi wang diminta, seorang lelaki tergamak mengugut untuk membunuh neneknya sendiri menggunakan pisau di Kampung Batu 16, Sungai Tiram, Ulu Tiram, di Johor Bahru semalam.,
Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata lelaki berusia 23 tahun itu didakwa melakukan ugutan tersebut ketika neneknya berada di dalam rumah pada jam 6 petang.
“Dia datang ke rumah dalam keadaan marah kerana tidak diberikan wang seperti diminta sambil mengacukan sebilah pisau dan mengugut akan menyembelih mangsa jika tidak memberikan wang.
“Kerana ketakutan, mangsa yang berusia 75 tahun telah melarikan diri ke rumah jiran untuk meminta pertolongan sebelum jirannya menghubungi polis,” katanya dalam kenyataan di Johor Bahru, hari ini.
Mohd Sohaimi berkata susulan laporan itu, polis telah pergi ke rumah berkenaan dan membuat tangkapan ke atas lelaki terbabit pada 12.05 tengah malam, serta merampas sebilah pisau berukuran 24 sentimeter (cm) panjang.
“Hasil semakan lampau mendapati cucu nenek berkenaan penganggur dan mempunyai tiga rekod jenayah dan dua rekod berkaitan dadah.
“Dia kini ditahan reman selama empat hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.