24 APRIL: Hasil kajian Merdeka Center mencerminkan keyakinan kukuh pengundi terhadap prestasi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan beliau dalam menguruskan ekonomi negara serta kebajikan rakyat.
Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata hasil kajian berkenaan sekali gus menolak dakwaan pembangkang kerap mengapi-apikan sentimen rakyat dengan pelbagai tohmahan dan gimik murahan untuk memberikan persepsi buruk terhadap kerajaan.
“Bagi saya ini adalah untuk menutup kelemahan mereka sendiri. Sebenarnya rakyat memperakui keprihatinan Tan Sri Muhyiddin dan Kerajaan PN dalam menjaga kebajikan mereka, di samping ketelusan dan integriti kerajaan dalam menjalankan tanggungjawab. Alhamdulillah, kebenaran tetap terbukti,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Terdahulu, media melaporkan kaji selidik Merdeka Center mendapati ‘approval rating’ Perdana Menteri kini amat baik dan stabil iaitu 67 peratus positif dikalangan pengundi Semenanjung Malaysia.
Kajian Merdeka Center juga mendapati sokongan terhadap Perdana Menteri amat kuat dikalangan pengundi Melayu (83 peratus) yang merupakan majoriti penduduk Malaysia.
Sebahagian besar pengundi (74 peratu) menghargai keprihatinan Kerajaan PN dalam menjaga kebajikan rakyat ketika dirundung wabak COVID-19.
Di samping itu juga, 70 peratus daripada pengundi merasakan Kerajaan PN menangani wabak COVID-19 dengan cekap dan teratur.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata keyakinan terhadap pengurusan wabak ini, termasuk dasar-dasar dan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan, adalah penting kerana usaha memerangi wabak ini memerlukan kerjasama dan sokongan setiap rakyat bagi memastikan kejayaan kita semua.
“ Keyakinan 56 peratus pengundi bersetuju bahawa Kerajaan PN mempunyai ‘visi dan perancangan yang jelas’ bagi mengembalikan kekuatan ekonomi Malaysia yang jatuh akibat daripada wabak ini, disamping kelemahan dan kepincangan pentadbiran kerajaan-kerajaan yang lalu,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI