24 APRIL: Terbitan Sukuk Kelestarian Malaysia yang mencatatkan langganan 6.4 kali baru-baru ini membuktikan bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat dalam pengurusan ekonomi ke arah pertumbuhan yang lebih mampan dan kukuh, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, ini jelas mencerminkan keyakinan pelabur dan keyakinan pasaran terhadap pemulihan dan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia walaupun kerajaan berdepan dengan cabaran getir akibat pandemik COVID-19 dalam tempoh setahun lepas.
Pada Khamis lepas, kerajaan Malaysia berjaya menetapkan harga Sukuk Kelestarian berdaulat pertama di dunia dalam dolar Amerika Syarikat menerusi terbitan bertempoh matang 10-tahun berjumlah US$800 juta dan sukuk bertempoh matang 30-tahun US$500 juta dengan pengagihan menyeluruh dari Asia hingga ke Amerika Syarikat (AS).
“Kejayaan kerajaan Malaysia menerbitkan Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam dolar AS dengan jumlah nilai US$1.3 bilion itu adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi negara,” katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur hari ini.
Melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali, saiz terbitan asal dinaikkan daripada US$1.0 bilion kepada US$1.3 bilion. Berdasarkan permintaan yang menggalakkan, kerajaan juga berjaya menetapkan harga yang kompetitif bagi Sukuk Kelestarian tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan agensi- agensinya yang terlibat, seperti Bank Negara Malaysia, yang telah bekerjasama dalam menjayakan pemasaran dan terbitan Sukuk Kelestarian yang unik dan unggul dari sudut inovasi instrumen kewangan Islam,” kata Muhyiddin.
Perdana menteri berkata beliau yakin ini juga akan terus menyerlahkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran kewangan Islam global.
“Insya-Allah, Sukuk Kelestarian ini akan terus meletakkan kita di landasan pembangunan yang lebih lestari, mampan, berdaya tahan dan berdaya saing selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.