24 APRIL: Seorang lelaki direman empat hari hingga Selasa ini bagi membantu siasatan berhubung kes surat layang berunsur kecaman ditujukan kepada Masjid Jamek Ketua Haji, Bandar Bahau, Bahau, Jempol, Negeri Sembilan dan menghina orang Melayu, seperti tular menerusi media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata lelaki berusia 56 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di rumahnya di Taman ACBE, Seremban pada jam 10.10 malam tadi.
“Polis turut merampas beberapa helai kertas dan sampul surat disimpan di dalam kabinet dapur di rumah itu yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes surat kecaman terhadap Masjid Jamek Ketua Haji dan menghina Melayu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hoo berkata, berdasarkan siasatan, lelaki itu diberhentikan kerja di sebuah kopitiam di Bahau kerana masalah disiplin dan sering memarahi pelanggan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, surat ditulis tangan itu, mendakwa keadaan bunyi kuat dari masjid, selain mengatakan institusi agama terbabit menjadi tempat ramai orang berkumpul sehingga boleh menyebabkan penularan COVID-19 dan memaki hamun orang Melayu.
Pihak jawatankuasa masjid itu kemudian membuat laporan polis berhubung surat terbabit supaya siasatan dapat dijalankan.