24 APRIL: Enam lokaliti di Tawau, Sabah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini, kesemuanya akan ditamatkan, esok seperti dijadualkan.
Lokaliti itu adalah Taman Cahaya, Jalan Tengku Osman, Kuarters Bomba Tawau, Jalan Mesra, Taman Golden Hill dan Taman Sri Bukit.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penamatan itu dilaksanakan selepas Kementerian Kesihatan (KKM), mengesahkan baki kes aktif di kesemua lokaliti terbabit menunjukkan trend penurunan.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di keenam-enam lokaliti ini pada 25 April 2021 seperti dijadualkan,” katanya dalam kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.
Ismail Sabri berkata, PKPD di dua lokaliti di daerah sama yang sepatutnya tamat esok akan dikenakan pelanjutan selama 14 hari, iaitu Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan.
Sehingga kini, katanya, KKM menjalankan 607 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 81 kes positif COVID-19 direkodkan di kedua-dua lokaliti terbabit.
KKM, katanya, melaporkan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk di Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan bermula 26 April sehingga 9 Mei 2021,” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Sungai Passin, Matu, Sarawak yang sepatutnya tamat esok, dilanjutkan dua minggu selepas 442 ujian saringan dijalankan KKM, mendapati sebanyak 49 kes positif direkodkan.
“Malah, KKM melaporkan masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD ini serta kes terakhir dilaporkan adalah pada 19 April 2021, iaitu sebanyak 5 kes positif.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Sungai Passin, Matu, Sarawak bermula 26 April sehingga 9 Mei 2021,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kes kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), semalam mencatatkan angka tertinggi dalam tempoh lebih dua minggu lalu, iaitu seramai 269, manakala kesalahan terbanyak dilakukan adalah gagal mendaftar masuk premis (84).
“Daripada seramai 269 individu ini, 250 dikompaun, manakala 19 direman.
“Kesalahan lain yang direkodkan adalah aktiviti pusat hiburan (74), tidak memakai pelitup muka (45) dan lain-lain (66),” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN