24 APRIL: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Jakarta, Indonesia, hari ini bagi menghadiri Pertemuan Pemimpin-Pemimpin ASEAN di Sekretariat ASEAN yang diadakan di negara itu.
Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta pada jam 8 pagi waktu tempatan, disambut Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Kamsiah Kamaruddin dan Ketua Pengarah Protokol dan Hal Ehwal Konsulat Kementerian Luar Indonesia, Andy Ranchmianto.
Pertemuan Pemimpin-Pemimpin ASEAN di Jakarta, dijangka membincangkan isu berkaitan keamanan, keselamatan dan kemakmuran serantau, termasuk perkembangan situasi di Myanmar.
Acara pertemuan itu menjadi tumpuan penting selepas krisis politik di Myanmar tercetus yang dijangka turut menguji pendirian ASEAN, terutama membabitkan dasar tidak masuk campur urusan dalaman.
Pemimpin utama menghadiri pertemuan itu, termasuk Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Kemboja; Samdech Techo Hun Sen, Sultan Brunei; Sultan Hassanal Bolkiah dan Presiden Indonesia; Joko Widodo.
Thailand, Laos dan Filipina pula diwakili Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan, manakala Myanmar menghantar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.
Penganjuran pertemuan itu adalah pertama yang diadakan secara fizikal sejak pandemik COVID-19 melanda dunia.
Deligasi Malaysia yang menghadiri Pertemuan Pemimpin ASEAN kali ini tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 ketat seperti dipersetujui Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Indonesia.
Pada lawatan itu, Muhyiddin dijangka mengadakan perjumpaan dua hala bersama Pham Minh Chinh bagi membincangkan hubungan dua hala.
Sementara itu, Kementerian Luar dalam satu kenyataan, semalam berkata, Malaysia menyokong sepenuhnya usaha Brunei selaku Pengerusi ASEAN 2021 untuk menganjurkan pertemuan itu dalam menentukan hala tuju dan masa depan ASEAN.
Katanya, perkara itu selari dengan prinsip ASEAN seperti Kepaksian ASEAN (ASEAN Centrality) dan bertepatan usaha untuk melindungi kesejahteraan, keselamatan, kestabilan serta kemakmuran serantau.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Selasa lalu, sekali lagi menekankan gesaan supaya keganasan di Myanmar dihentikan segera serta mencari penyelesaian aman kepada krisis politik negara itu.
Setakat ini, pertembungan antara junta tentera Myanmar bersama penunjuk perasaan pro demokrasi di negara itu akibat rampasan kuasa, menyaksikan kematian hampir 800 orang awam, selain ribuan dilaporkan ditahan.