24 APR: Polis percaya dapat menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penahanan sepasang suami isteri dalam serbuan berasingan di Segambut, di sini, dan Bandar Sri Damansara, Petaling, Selangor, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah di sebuah taman permainan di Segambut pada 4.30 petang.
Beliau berkata hasil soal siasat terhadap suspek yang juga pemandu e-hailing itu, kami membuat pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang diparkir berhampiran kawasan taman permainan berkenaan.
“Pemeriksaan terhadap MPV itu menemui dadah jenis ganja seberat 2,540 gram bersama wang tunai RM200 dipercayai hasil jualan dadah terbabit, sebelum menyerbu rumah sewa suspek di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, Petaling, pada hari sama.
“Dalam serbuan itu, kami menahan isteri suspek lelaki terbabit berusia 20-an serta merampas dadah jenis ganja seberat 25,610 gram dan dadah jenis heroin seberat 406.27 gram yang ditemui di dalam bilik tidur kediaman berkenaan.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah yang boleh dibekalkan kepada 62,193 penagih di kedua-dua lokasi berkenaan dianggarkan bernilai RM75,375,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di KualaLumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Eng Lai berkata, sindiket itu dipercayai aktif melakukan kegiatan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak tujuh bulan lalu.
Beliau berkata modus operandi sindiket itu adalah meletakkan dadah yang dibungkus dalam peket kecil di dalam kenderaan sebelum diserahkan kepada pelanggan.
“Difahamkan sindiket berkenaan mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki tempatan yang sudah dikenal pasti identitinya,” katanya.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek wanita berkenaan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC), manakala suaminya negatif dadah.
“Semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod jenayah dan dadah, manakala isterinya tidak mempunyai sebarang rekod.
“Kedua-dua suspek terbabit direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 29 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.