24 APRIL: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekali lagi menegaskan tindakan parti itu tidak meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bukan keputusan peribadi, sebaliknya dilakukan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, bulan lalu.
Justeru, katanya, keputusan itu bukannya boleh dibawa berbincang semula di meja rundingan dengan mudah kerana membabitkan suara akar umbi dan perwakilan UMNO.
“Tiga hari lalu, Dewan Ulama PAS Pusat menegaskan parti itu sedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan pertelingkahan antara UMNO dan BERSATU untuk mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Malah pihak mereka mengatakan boleh mengatur perjumpaan supaya titik penyelesaian terhadap kemelut berlarutan ini dapat dicari, namun saya berharap pihak yang berkeyakinan tinggi itu faham bahawa keputusan UMNO ini bukan secara peribadi, tetapi membabitkan suara ketika PAU,” katanya menerusi status dimuat naik di Facebook rasminya, hari ini.
Ahmad Zahid turut mengingatkan bahawa kerjasama Muafakat Nasional (MN) dimeterai ketika orang Melayu dan Islam diinjak-injak semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
“Gabungan ini pada masa itu adalah tulen, jujur dan penuh semangat.
“Kerjasama berkenaan membabitkan antara 3 juta ahli bersama sejuta ahli. Bukannya kerjasama antara sejuta ahli dengan 500 orang,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN