25 APRIL: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan siasatan dalaman segera, berhubung dakwaan seorang guru lelaki seolah-olah menggalakkan perlakuan rogol ketika mengendalikan kelas subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK).
Presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor, berkata pihaknya sudah meneliti video itu dan berpandangan perkara terbabit perlu disiasat bagi mengelakkan sebarang fitnah dan salah faham daripada terus tersebar.
Katanya, GPMS amat terkejut dengan dakwaan seorang pelajar sekolah yang tular bahawa gurunya ‘menggalakkan’ perlakuan rogol melalui ‘gurauan lucah’ melampau dalam pengajaran subjek PJPK.
“Pelajar berkenaan mendakwa guru subjek PJPK itu seolah-olah mengajar bagaimana untuk menjalankan jenayah rogol.
“Jika dakwaan ini benar, KPM perlu mencari jalan terbaik supaya perkara sedemikian tidak berulang pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Berita itu tular selepas seorang pelajar perempuan memuat naik video menerusi aplikasi Tik Tok mengenai cara pengajaran guru lelaki berkenaan yang dikatakan berbaur lucah ketika membincangkan topik kesedaran mengenai gangguan seksual.
Kejadian itu dipercayai berlaku Jumaat lalu di sebuah sekolah di Selangor.