25 APRIL: Dalam tempoh kurang lima bulan selepas program inokulasi besar-besaran pertama bermula, lebih satu billion dos vaksin COVID-19 telah diberikan kepada penduduk dunia.
Berdasarkan data dikumpul AFP semalam, kira-kira 1,002,938,540 dos diberikan di 207 negara dan wilayah dengan 58 peratus diberikan di tiga negara iaitu 225.6 juta dos di Amerika Syarikat (AS), China (216.1 juta) dan India (138.4 juta).
Dari segi jumlah populasi setiap negara, Israel berada di tangga teratas dengan enam daripada 10 rakyatnya divaksin.
Ia diikuti Emiriah Arab Bersatu (UAE) (51 peratus), Britain (49 peratus), AS (42 peratus), Chile (41 peratus), Bahrain (38 peratus) dan Uruguay (32 peratus).
Di negara Kesatuan Eropah (EU), 128 juta dos diberikan kepada 21 peratus penduduknya dan Malta paling tinggi mengatasi 27 negara blok iaitu 47 peratus, manakala Hungary (37 peratus).
Ia diikuti Jerman (22.6 peratus), Sepanyol (22.3 peratus), Perancis (20.5 peratus) dan Itali (19.9 peratus).
Pemberian vaksin meningkat sekali ganda dalam tempoh kurang sebulan berikutan program inokulasi diperhebatkan di seluruh dunia.
Dalam pada itu, majoriti negara miskin turut memulakan program vaksinasi menerusi program Covax. Bagaimanapun, program inokulasi masih lagi diutamakan di negara berpendapatan tinggi dengan 16 peratus penduduk dunia sudah memvaksin 47 peratus rakyat mereka.
Negara berpendapatan rendah hanya merekodkan 0.2 peratus pemberian vaksin.
Sebanyak 12 negara masih belum memulakan program vaksinasi termasuk tujuh negara di Afrika (Tanzania, Madagascar, Burkina Faso, Chad, Burundi, Republik Afrika Tengah) dan Eritrea; tiga di Oceania (Vanuatu, Samoa dan Kiribati; satu di Asia (Korea Utara); serta satu di Caribbean (Haiti).
Vaksin dibangunkan AstraZeneca dan Universiti Oxford adalah jenis yang paling banyak digunakan dengan tiga perempat negara dunia atau 156 negara dan wilayah.
Pfizer dan BioNTech pula digunakan di 91 negara, vaksin dibangunkan Moderna digunakan di 46 negara, vaksin Sinopharm pula digunakan di 41 negara, Sputnik V (32 negara) dan Sinovac di 21 negara.