25 APRIL: Sebanyak 1,070 ekor burung murai yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran dirampas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, kelmarin.
Pengarahnya Perhilitan Johor, Salman Saaban, berkata operasi dijalankan di sebuah rumah di Taman Wawasan Kelapa Sawit, Kulai, Johor Bahru, Johor pada jam 7.30 malam itu, membabitkan tujuh pegawai dan anggota.
“Hasil pemeriksaan di premis dan kenderaan di situ, menjumpai 70 ekor burung murai batu dan 1,000 ekor burung murai kampung yang dianggarkan bernilai RM66,000.
“Beberapa barangan, termasuk kenderaan jenis Toyota Estima, satu unit telefon bimbit dan 74 bakul plastik turut dirampas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Salman berkata, seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun diperiksa dan diambil keterangan untuk siasatan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Berdasarkan siasatan awal, lelaki ini tidak mempunyai sebarang dokumen sah bagi membolehkannya menyimpan hidupan liar berkenaan, malah dia juga disyaki cuba menyeludup Haiwan terbabit ke negara jiran.
“Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat dan barangan kes dibawa ke pejabat Perhilitan Bandar Penawar untuk tindakan lanjut,” katanya.