25 APRIL: Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, mengesahkan tiada perbincangan untuk memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam masa terdekat.
Tajuddin menegaskan, ini kerana parti itu masih berpegang dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada PRU-15.
“Tiada tarikh untuk putuskan hubungan dengan BERSATU kerana masih berpegang dengan pendirian ketika PAU akan putuskan sebelum PRU15.
” Selagi tidak sampai Ogos kita masih kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), itu keputusan PAU, ” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di PWTC, hari ini.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai mesyuarat tersebut, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak memaklumkan pertemuan itu lebih banyak membincangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengadakan pemilihan UMNO.
Beliau turut menegaskan ini perlu dilakukan kerana bukan mudah untuk mengadakan pemilihan UMNO jika tiada perancangan yang rapi boleh menyebabkan SOP tidak dipatuhi dengan sebaiknya.
“Bukan mudah nak buat mesyuarat peringkat negeri peringkat bahagian tidak semudah itu kerana mesyuarat pemilihan perlu dirujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan beberapa pihak nak dirujuk dan agar ianya lancar supaya tidak dipertikai nanti.
“Lagipun kita tiada desakan (adakan pemilihan) dan kita perlu beri tumpuan terlebih dahulu terhadap masalah yang dihadapi rakyat iaitu COVID-19. Kita tak mahu nanti kita nak adakan pemilihan perhatian fokus terhadap permasalahan. rakyat sudah diketepikan.
Ditanya, mengenai rakaman audio tular yang didakwa perbualan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiada perbincangan dilakukan mengenai perkara tersebut.
Sementara itu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan parti itu sudah mempunyai tarikh bagi mengadakan pemilihan parti namun akan diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
“Sudah putuskan tarikh namun Setiausaha akan keluarkan kenyataan dan ini cuma mesyuarat biasa sahaja,”katanya ketika ditemui sebentar tadi.
Beliau juga mengesahkan tiada di kalangan pemimpin UMNO yang dipecat daripada parti tersebut.
“Tiada (mereka yang dipecat) kerana kita bukan parti yang suka pecat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH