26 APRIL : Sebanyak 103 buah sekolah di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan ditutup dua hari, bermula hari ini membabitkan peningkatan kes COVID-109 dalam kalangan Kluster Pendidikan.
Di Selangor, ia membabitkan sebanyak 79 buah sekolah, Pulau Pinang (20) dan Negeri Sembilan (4).
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam kenyataannya, mengesahkan penutupan berkenaan dan berdasarkan senarai dikeluarkan, sekolah itu membabitkan 19 sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat.
PPD Petaling Perdana membabitkan 18 sekolah, PPD Klang (15) dan masing-masing sembilan di PPD Gombak dan Petaling Utama, manakala PPD Hulu Selangor (5), selain masing-masing dua sekolah di PPD Kuala Langat dan PPD Sepang.
Pada minggu lalu, beberapa sekolah di Selangor ditutup, selain Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sejak Sabtu lalu hingga 7 Mei depan selepas 71 pelajar disahkan positif COVID-19.
Dalam pada itu, sebanyak 20 sekolah di Pulau Pinang membabitkan sekolah rendah dan menengah di lima daerah di negeri berkenaan, ditutup selama dua hari susulan laporan kes COVID-19.
Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, susulan penutupan itu, semua sekolah terbabit perlu mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Ya, setakat ini 20 buah sekolah ditutup selama dua hari mulai hari ini.
“Semua murid dan pelajar boleh mengikuti PDPR sementara sekolah ditutup,” katanya.
Sementara itu, di Negeri Sembilan, empat sekolah yang ditutup ialah di Batu Kikir, Jempol, Port Dickson dan Kuala Pilah.
Setakat semalam, seramai 25 murid dan guru disahkan positif COVID-19 di negeri itu, manakala lebih 200 individu dipanggil menjalani saringan.