26 APR: Kadar kes baharu positif COVID-19 harian terus melepasi angka 2,700 kes dengan kes kematian meningkat kepada 13 kes termasuk 12 rakyat tempatan dan satu warga asing hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dengan pertambahan 2,776 kes baharu berkenaan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini mencecah 395,718 kes termasuk 369,556 kes atau 93.4 sudah sembuh, manakala 24, 713 masih aktif.
Beliau berkata bilangan pesakit di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kini bertambah menjadi 300 orang termasuk 133 memerlukan bantuan alat pernafasan.
“Pada hari ini, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 762 kes (27.4 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 577 kes (75.7 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 615 kes (22.2 peratus) dan Kelantan sebanyak 343 kes (12.4 peratus).
“Sebanyak 17 kes (0.6 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di pusat tahanan dan lokap yang membabitkan Kluster Kampung Selamat (16 kes) dan Kluster Pagar Sri Lalang (1 kes).
“Terdapat 13 kes kematian pada hari ini yang melibatkan enam (6) kes di Sarawak, tiga (3) kes di Selangor, dua (2) kes di Sabah, dan masing-masing satu (1) kes di Kelantan dan Johor. Sebanyak 12 kes melibatkan warganegara dan satu (1) bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham juga mengesahkan KKM mengesan 12 lagi kluster baharu hari ini termasuk empat membabitkan tempat kerja dan komuniti, dua kluster pendidikan serta masing-masing satu keagamaan dan pusat tahanan.
Beliau berkata dengan pertambahan itu jumlah kluster COVID-19 di Malaysia kini menjadi 1,603 kluster termasuk 1,245 sudah tamat dan 358 kluster masih aktif.
“Lima kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Jalan Wawasan Dua, Kluster Jalan Bukit Tiga, Kluster Jalan Bachok, Kluster Seksyen 16, dan Kluster Jalan Setia Jaya.
“Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini ialah 64 kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Jalan Raja Bukit Pasir (148 kes), Kluster Kampung Batu Sembilan (52 kes), dan Kluster Tapak Bina Tanjung Kupang (41 kes),” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI