26 APRIL : Kerajaan Negeri Pahang menarik balik Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur kepada Datuk Seri Nicky.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, Nicky atau nama sebenarnya Liow Soon Hee sebelum ini dikurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri telah ditarik balik yang berkuat kuasa pada 21 April lalu.
Menurut beliau, selain Soon Hee, seorang lagi penerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur iaitu Datuk Liow Wei Loon turut ditarik balik dan dibatalkan.
“Wei Loon sebelum ini dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk dan penarikan darjah tersebut juga berkuat kuasa 21 April 2021.
“Kedua-dua individu itu tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan dan perlu mengembalikan Darjah Kebesaran itu kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.
“Ini selaras dengan Undang-Undang Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Negeri Pahang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat mengesan Nicky, pengasas sebuah syarikat pelaburan Winner Dynasty Group, yang dipercayai terbabit dalam pelbagai aktiviti jenayah penipuan.
Lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai menjalankan penipuan seperti pemberi pinjaman wang tdak berlesen, pelaburan tidak wujud dan tipu jual beli dalam talian.
Pihak berkuasa pada yang menjalankan operasi Ops Pelican 3.0 dari 20 hingga 28 Mac lalu telah menahan 68 individu, wang tunai lebih RM770,000 dirampas dan menyita 16 kenderaan mewah bernilai lebih RM6 juta.
Polis turut membekukan 41 akaun bank bernilai lebih RM4 juta dan 35 kenderaan bernilai RM8.86 juta membabitkan 21 individu dan 16 entiti termasuk Yayasan Winner Emperor Sedunia dan Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia.
Sehingga kini, Nicky masih gagal dikesan dan pihak Polis Antarabangsa (Interpol) telah mengeluarkan ‘notis merah’ terhadapnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH