26 APRIL: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mengharapkan agar orang ramai tidak terlalu awal menghukum guru Pendidikan Jasmani sebuah sekolah di Selangor yang didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.
Presidennya, Aminuddin Awang berkata ini kerana dakwaan tersebut hanya dikeluarkan oleh sebelah pihak dan seharusnya menunggu kenyataan daripada guru tersebut dan sekolah mengenai kejadian itu.
“Saya harap semua pihak jangan lagi menghukum guru tersebut kerana setakat ini kita hanya mendengar aduan atau cerita daripada belah pelajar tanpa kita belum lagi mendengar apa-apa daripada pihak guru itu sendiri dan juga pihak sekolah.
“Jadi, saya rasa perkara ini biarlah pihak berkuasa membuat siasatan dan membuat keputusan mereka…kerana setakat ini kita belum mendengar apa-apa maklumat daripada pihak guru itu,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Pada Jumaat lalu, seorang pelajar mendakwa ketika mengikuti kelas guru tersebut pada mulanya berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut.
“Perlahan-lahan gurauan itu menjadi semakin pelik dan lucah. Kemudian, guru itu bercakap mengenai terdapat pelbagai undang-undang yang melindungi kanak-kanak bawah umur daripada penderaan dan gangguan seksual.
“Guru itu kemudian berkata, jika pelajar-pelajar nak rogol, janganlah rogol yang bawah 18 tahun, rogol yang 18 tahun ke atas sebab banyak undang-undang untuk bawah umur,” katanya.
Justeru itu, Aminuddin berkata pihaknya menggesa siasatan segera perlu dilakukan oleh pihak berkuasa agar semua pihak mengetahui perkara sebenar berkenaan dakwaan tersebut.
“Siasatan segera perlu dilakukan memandangkan telah menjadi isu dan tumpuan sehingga tular di media sosial. Siasatan perlu dipercepatkan demi kebaikan bersama,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH